Sejarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor

YM Tengku Abu Bakar of Johore, The first Malayan Veterinarian to qualify from a Western University and the first Chief Animal Husbandry Officer

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor atau dulu dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Johor sebelum ini telah diasaskan pada tahun 1910 dengan pengasasnya ialah Almarhum Tunku Aris Bendahara Abu Bakar Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Pegawai Haiwan Negeri Johor yang pertama ia Dr. G. C. Renwick.  Pada ketika itu, jabatan ini hanya dianggotai oleh seorang Pembantu Inspektor Veterinar di bawah pengawasan Pegawai Perubatan Veterinar yang berpusat di Singapura.  Lokasi Pejabat Haiwan Negeri Johor yang pertama tersebut terletak di Jalan Ibrahim, berhadapan dengan Pejabat Pos Besar Johor Bahru sekarang yang mana sekarang ini diganti dengan sebuah taman bunga, perhentian bas dan tempat letak kereta.  Pada tahun 1918, pengawasan JPHNJ dipindahkan di bawah Pegawai Haiwan Singapura, Dr. P.S. Falshaw yang melawat Negeri Johor seminggu sekali pada tahun yang sama, En. Birchee mula memegang jawatan Inspektor Veterinar.

Pada tahun 1920, Y.M. Tengku Abu Bakar Ibni Almarhum Sultan Ibrahim telah menjawat jawatan Pegawai Haiwan Negeri Johor dan jabatan ini telah diuruskan sebagai satu jabatan tersendiri di Negeri Johor dengan anggotanya yang tersendiri.  Pada tahun 1924, jabatan dianggotai oleh Inspektor yang kedua iaitu seorang graduan Universiti Lahore bernama Dr. Jai Gopal Singh.  Beliau dihantar membuka cawangan baru di Daerah Muar.

Pada tahun 1926, cawangan Batu Pahat ditubuhkan dan dianggotai oleh En. F.N. Chatterjee yang kemudiannya diikuti oleh penubuhan cawangan Johor Bahru pada 1927 yang diketuai oleh En. Santiago.  Pada 1933, En. K.T. John dan K. S. Pillai (1934) adalah pegawai-pegawai baru yang memasuki perkhidmatan, membolehkan Pejabat Perkhidmatan Haiwan Daerah Segamat ditubuhkan pada tahun 1935 dengan K.S. Pillai sebagai ketua dan kemudiannya diikuti oleh pembukaan Pejabat Perkhidmatan Haiwan Daerah Kluang pada 1938.

Pada 1939, Central Animal Husbandry Station ditubuhkan di Kluang yang diketuai oleh Y.M. Dr. Tengku Abu Bakar Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.  Tahun 1941 berlaku pengwujudan jabatan Penolong Pegawai Haiwan yang dianggotai oleh En. Cheah Phee Tatt, En. Dividasan dan En. P.N. Pooranavelu.

Dengan penambahan cawagan dan pejabat daerah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, pelbagai aktiviti ternakan negeri yang lebih terancang mula digiatkan secara kormersial bermula pada tahun 1935 dengan kempen menggalakkan penternakan kambing dan pembangunan padang ragut di kawasan luar bandar.  Ini diikuti dengan pameran “ternakan hidup” dipamerkan buat kali pertamanya di Negeri Johor pada tahun 1936.  Tahun 1940 menampakkan pembangunan industri ayam/itik, ‘hatcheries’ dan pengeluaran telur yang mula diberi galakan kepada rakyat, menjadikan negeri Johor sebagai negeri terbesar dalam penghasilan ternakan ayam dan itik pada ketika ini.